Islamic Widget

Wednesday, August 10, 2011

BAGAIMANA AKHIRNYA??. Part 1

PROLOG
Nama ku Syazrina. Aku hidup dalam keluarga yang sungguh bahagia suatu ketika dahulu. Ayahku juga selalu memberikan ku hadiah buku cerita kisah dongeng puteri seperti Cinderella, Beauty and The beast, Rapunzel dan sebagainya. Aku sering berkhayal untuk bahagia seperti kisah-kisah dongeng tersebut. Namun kebahagiaan itu tidak kekal selamanya. Detik hitam telah berlaku dan mengubah seluruh hidupku.

SEJARAH YANG SUKAR DILUPAKAN.

"Rina, pilih ayah atau ibu?" ayahku mengajukan soalan. Aku lihat ibuku menangis teresak-esak di atas sofa di ruang tamu rumah. "Rina nak ayah dan ibu," aku menjawab. "Tak boleh. Ayah nak Rina pilih salah satu."ayahku mula meninggikan suara. Airmataku merembes keluar. Aku tidak mengerti mengapa aku harus memilih diantara satu. Aku inginkan semuanya. Aku inginkan ibu dan ayahku. Aku tidak mahu salah seorang daripada mereka. Beberapa hari selepas itu aku dibawa oleh ayahku ke satu tempat. Pada waktu itu ibuku sudah hilang entah kemana. "Ayah tempat apa ni? Cantiknya."aku bersuara. "Ini mahkamah Syariah. Ayah nak jumpa ibu di sini dan akan tau siapa yang boleh jaga Rina lepas ni." Aku terkedu. Aku rasa seperti ingin menangis. Aku mula berfikir tentang kehidupanku selepas ini. Tiada ayah atau ibu. Sedangkan rakan-rakanku yang lain memiliki anugerah Tuhan yang terindah itu.

Kami keluar dari perut kereta dan ayahku memintaku untuk duduk di sebuah kerusi panjang. Ayahku masuk ke dalam bilik melalui sebuah pintu yang tidak jauh dariku. Lebih kurang setengah jam menunggu aku lihat ibu dan ayahku keluar. Ibuku terus mendapatkanku dan mencium dahiku. Terasa kesedihan yang dia alami waktu itu. "Rina, cepat masuk kereta," ayahku menjerit. Aku bergegas bangun dan berlalu pergi. Aku bimbang aku akan dimarahi kerana ayahku seorang yang panas baran. "Rina mulai dari hari ini ayah akan menjaga Rina dan bertanggungjwab sepenuhnya kepada Rina." Ayahku berkata. "Ibu?????" tanyaku. "Ibu akan duduk jauh dari kita." Mataku mulai berkaca. Apa yang aku takutkan kini akan terjadi.

Ayahku tidak lagi menghantarku ke sekolah seperti biasa. Aku ke sekolah dengan menaiki basikal. Walaupun sekolah ku agak jauh dari rumah. Aku lihat kawan-kawanku bermain permainan yang dibawa mereka. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun aku duduki. Dengan keizinan guru kami dibenarkan membawa alat permainan untuk mengisi waktu di sekolah. Aku duduk termangu dan mengenangkan ibuku. Dimana ibu? Aku sendiri tidak tahu. Esok dah bermula bulan Ramadhan. 'Siapa yang akan masak untuk Rina?' aku bermonolog sendirian. Aku hanya bermenung sehingga waktu sekolah sudah tamat. Aku mengambil beg sekolahku untuk pulang ke rumah. Semasa menyorong basikal keluar dari perkarangan sekolah, aku lihat ibubapa kawan-kawanku menjemput mereka menaiki kereta. Alangkah indahnya waktu dahulu.

RAMADHAN DATANG LAGI
Kehadiran ramadhan tidak seperti dahulu. Dahulu ibuku akan mengejutkanku untuk bersahur tapi sekarang ibu dah tiada. Ayahku pula tidak mengejutkanku untuk bersahur. Semasa berbuka pula kami hanya makan mi segera. Aku mulai rindu pada ibuku. Ketika ibuku ada dahulu dia akan memasak lauk-lauk kegemaranku semasa berbuka. Ada berbagai jenis kuih di atas meja. Tetapi........ Sekarang tidak lagi sama seperti dahulu.

'Ibu, Rina rindukan ibu' aku berkata. Hari ini genap seminggu kami berpuasa. Tapi kami berbuka masih dengan menu utama iaitu mi segera. Pipiku terasa hangat. Rinduku pada ibu tidak dapat dibendung lagi. Aku termenung melihat mi segera yang berada di hadapanku sekarang. "Rina, kenapa tak makan?" tanya ayahku. "Rina nak makan nasi, mi segera ni tak kenyang." aku menjawab. "Makan je apa yang ada. Jangan banyak cakap" ayahku mulai tinggi suaranya.

Aku mula menyuap mi segera ke dalam mulut. Terasa muak pabila aku mengunyahnya. 'Ibu, baliklah' jerit hatiku. Mi segera itu tidak ku habiskn. "Rina, kenapa tak habis makan mi tu?" tanya ayahku. " Rina dah kenyang ayah." aku menjawab perlahan. Setelah mangkuk yang ku gunakan di basuh. Aku terus ke dalam bilik. Aku memeluk teddy bear yang pernah dihadiahkan kepadaku suatu ketika dulu oleh ibuku. " Teddy, teddy, Rina rindu kat ibu.... mana ibu pergi.... Rina nak makan masakan ibu. Rina lapar.. Rina tak nak makan mi segera tu lagi." aku meluahkan perasaan pada teddy bear. Sejak ibu tiada, teddy bear ini lah yang menjadi tempat luahan perasaanku. Aku tertidur bersama airmata pada malam itu.

Cuti sekolah telah pun bermula pada hari ini. Aku berdoa agar makanan untukku berbuka puasa pada hari ini berbeza dari hari sebelumnya. Tiba-tiba Makcik Zai datang mengetuk pintu rumahku. Aku membuka pintu. "Rina, ni ada lauk yang makcik masak untuk Rina berbuka puasa nanti. Nanti Rina tanak lah nasi." Aku menyambut huluran Makcik Zai. 'Wah, ayam masak merah. Sedapnya.' kata hatiku. Aku tersenyum memandang Makcik Zai dan mengucapkan terima kasih. Setelah Makcik Zai berlalu pergi, aku terus menanak nasi. Hatiku berbunga-bunga untuk berbuka puasa pada hari ni.
Tidak lama selepas itu ayahku kembali dari tempat kerja.

Aku menghidangkan lauk dan nasi yang telah siap. Sejak ibu tiada aku mula belajar masak untuk mengisi perut. Jauh di sudut hati aku mengharapkan lauk yang ibu masak seperti dulu. Setelah selesai mandi ayahku duduk berhampiran meja. "Mana datang lauk ayam masak merah ni?" ayahku bertanya. "Makcik Zai jiran sebelah yang bagi ayah," aku menjawab. Tidak lama kemudian kedengaran azan menandakan waktu berbuka sudah tiba. Aku mula menyuapkan nasi ke dalam mulut. Alhamdulillah akhirnya dapat juga aku makan nasi pada hari ini. Aku rasa sangat bersyukur kerana doaku dimakbulkan.

HARI RAYA AIDILFITRI
'kringggg!! kringgg!!" telefon rumahku berbunyi. Aku bergegas untuk menjawab telefon. "Assalamualaikum." aku terdiam seketika. "Ibu!!!!!!!" airmataku merembes keluar. "Ibu Rina nak ibu, Rina tak nak makan mi segera ibu, Rina lapar." aku meluahkan perasaan. "Rina makan mi segera je?" ibuku bertanya kepadaku. "Ya ibu. Ibu di mana? Rina rindu kat ibu. Baliklah rumah ibu." aku memohon kepada ibuku. "Ibu dah tak boleh balik sana sayang. Ibu dan ayah sudah tiada ikatan lagi." ibuku menerangkan. "Tapi kenapa? Rina nak ibu dengan ayah." aku mulai teresak-esak. Ibuku juga begitu. "Rina, jangan menangis sayang. Esok Rina datang rumah ibu ya, esokkan raya." ibuku berkata. "Tapi macam mana Rina nak jumpa ibu? Rina tak tahu tempat tinggal ibu." aku menerangkan. "Tak apa, nanti ibu suruh teksi ambilkan Rina di rumah, terus bawa jumpa ibu, ya sayang." "Baik ibu," rinduku sedikit terubat setelah mendengar suara ibu.

Keesokan harinya, aku memakai baju kurung lama memandangkan tahun ini aku tidak dibelikan baju baru. Aku menunggu kehadiran teksi. Tak sabar rasanya mahu berjumpa ibu. Ayahku telah keluar sejak dari pagi tadi. Kelihatan sebuah teksi berhenti di hadapan rumahku. Aku keluar dari rumah dan mengunci pintu. Aku terus meluru masuk ke dalam perut kereta tersebut dan teksi tersebut meluncur laju di jalanraya. Aku tiba di sebuah rumah pangsa. Pakcik tersebut membawa aku naik ke tingkat 3. Dia menunjukkan aku rumah ibu. Aku mengetuk pintu dan memberi salam. Tiba-tiba pintu rumah dibuka dan kulihat wajah yang sangat aku rindui selama ini. iaitu ibuku. Aku terus memeluk ibuku. Ibuku menghulurkan 2 keping not sepuluh ringgit dan pakcik itu terus berlalu pergi.

"Rina dah makan?" tanya ibuku. " Belum." aku menjawab. Ibuku menuju ke dapur dan membawa Rendang ayam dan ketupat. "Makanlah Rina. Ibu masak. Makan puas-puas ye sayang." Tidak lama selepas itu, pintu rumah ibuku diketuk. Aku bergegas membuka pintu dan ku lihat ayahku. "Rina kenapa datang sini? Rina tak boleh jumpa dia." Aku berlari ke arah ibuku. "Rina nak ibu. Rina nak ibu. Rina tak nak balik." aku mula menangis.

Akhirnya ayahku beralah dan meninggalkan aku serta ibuku. Ayahku kata akan menjemputku bila cuti sekolah habis. Tahun hadapan aku akan berganjak ke Tingkatan satu. Banyak lagi cabaran yang bakal aku tempuhi.


bersambung.............

No comments:

Post a Comment